Sumber : Utusan Online (15 November 2010)
FBM KLCI dijangka cecah 1,780 mata tahun depan
PASARAN saham negara berpotensi menjalani aliran peningkatan ‘super’ yang bakal menyaksikan penanda arasnya, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) melonjak mencecah 1,780 mata menjelang akhir tahun depan, kata Penganalisis Pasaran, SN Lock.
Selepas merekod paras tertinggi dalam sejarah pada minggu lalu, FBM KLCI dan pasaran utama global khususnya Eropah kembali susut pada Jumaat susulan kebimbangan langkah menaikkan kadar faedah oleh bank pusat serta masalah hutang Ireland.
Lock, bagaimanapun berkata, penyusutan selepas kenaikan tinggi pasaran adalah sesuatu yang diperlukan oleh FBM KLCI untuk membolehkan ia meneruskan aliran peningkatannya setelah merekodkan paras tertinggi 1,528.01 mata.
“Sasaran utama bagi tahun depan adalah antara 1,691 hingga 1,780 mata, dengan paras sokongan kritikal pada 1,440 hingga 1,550 mata,” katanya pada Forum Pelaburan Kewangan Persendirian TheEdge di Kuala Lumpur, kelmarin.
Dari segi prospek lebih baik, Lock berkata jika sasaran 1,780 itu dilepasi, FBM KLCI juga mampu meningkat mencecah 1,869 hingga 1,958 mata pada 2011.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Maybank Investment Bank (Maybank-IB), Wong Chew Hann, berkata wujud potensi peningkatan aliran masuk dana asing ke pasaran ekuiti Malaysia.
“Kami menjangka kadar dasar semalaman kekal stabil atau sekurang-kurangnya sehingga separuh kedua 2011. Ekuiti adalah kelas aset paling menarik untuk dilabur dalam situasi regim kadar faedah yang rendah,” katanya.
Beliau bagaimanapun, menyasar FBM KLCI mampu melonjak mencecah 1,660 mata menjelang akhir 2011. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment